“SAYA amat terharu dengan kebaikan orang Port Dickson dan berharap ini adalah destinasi terakhir kami sekeluarga,” kata Mohd Aiman Syazwan Abd Karim, 24, yang hidup bergelandangan bersama isteri dan dua anak lelakinya ketika ditemui di rumah tumpangan sementara di Taman Politeknik, Port Dickson. Menurut Aiman, dia bersama isterinya, Norhamima Azlan, 31, dua anaknya, Muhammad Afif Raziq, 3, dan Puteri Aqila Mohd Aiman Syazwan, tujuh bulan datang ke Port Dickson dari Nilai pada 29 Disember lalu untuk mencari pekerjaan. “Ramai kawan-kawan saya beritahu, Port Dickson banyak kerja tetapi sukar juga nak dapat kerja. Jadi kami sekeluarga tidur di wakaf berhampiran pantai di Batu 4 sementara saya mendapat pekerjaan. “Pernah juga ada sekumpulan lelaki datang ke wakaf dan memarahi kami kerana tidur di wakaf dan meminta kami beredar tetapi kami tiada tempat lain nak dituju. “Persoalan mengapa kami berhijrah ke sini biarlah rahsia kerana kami tidak mahu memanjangkan cerita,” katanya. Katanya...