Keratan Akhbar Harian Metro : Orang Port Dickson Memang Baik Hati
“SAYA amat terharu dengan kebaikan orang Port Dickson dan berharap ini adalah destinasi terakhir kami sekeluarga,” kata Mohd Aiman Syazwan Abd Karim, 24, yang hidup bergelandangan bersama isteri dan dua anak lelakinya ketika ditemui di rumah tumpangan sementara di Taman Politeknik, Port Dickson.
Menurut Aiman, dia bersama isterinya, Norhamima Azlan, 31, dua anaknya, Muhammad Afif Raziq, 3, dan Puteri Aqila Mohd Aiman Syazwan, tujuh bulan datang ke Port Dickson dari Nilai pada 29 Disember lalu untuk mencari pekerjaan.
“Ramai kawan-kawan saya beritahu, Port Dickson banyak kerja tetapi sukar juga nak dapat kerja. Jadi kami sekeluarga tidur di wakaf berhampiran pantai di Batu 4 sementara saya mendapat pekerjaan.
“Pernah juga ada sekumpulan lelaki datang ke wakaf dan memarahi kami kerana tidur di wakaf dan meminta kami beredar tetapi kami tiada tempat lain nak dituju.
“Persoalan mengapa kami berhijrah ke sini biarlah rahsia kerana kami tidak mahu memanjangkan cerita,” katanya.
Katanya, dia mahu memulakan kehidupan baru di sini dan bernasib baik diterima bekerja di sebuah kedai makan berhadapan dengan wakaf tempat mereka sekeluarga berlindung.
“Keadaan dan nasib kami sekeluarga turut mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Ibrahim Khan Amanula Khan yang banyak membantu selain sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
“Buat sementara waktu kami ditempatkan di sebuah rumah persinggahan sebelum mendapat sebuah rumah sewa yang berhampiran dengan tempat kerja,” katanya yang pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan sebelum ini.
Mohd Aiman berkata, dia terharu kerana Ibrahim turut menjanjikan untuk membayar deposit dan sewa rumah untuk bulan pertama selain bantuan wang tunai serta barangan makanan.
“Bagi saya, orang Port Dickson sangat baik dan kami sekeluarga amat terharu sekali. Saya amat berharap dapat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik lagi.
“Saya mahu segera melupakan masa lalu demi anak-anak dan isteri. Terima kasih juga kepada majikan baru saya, Kings Char Kuey Teow yang memberikan sinar baru dalam kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dia mendapat tahu keadaan keluarga ini daripada NGO, My Kasih Care yang menghulurkan bantuan segera kepada ke keluarga ini.
“Walaupun mereka orang luar tetapi sekarang mereka tinggal di kawasan saya, pastinya sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu.
“Saya harap mereka dapat segera berpindah di rumah sewa tidak jauh dari tempat kerjanya dan memulakan kehidupan baru bersama keluarganya,” katanya ketika menyampaikan bantuan segera kepada keluarga ini.
Comments
Post a Comment