Calon Bertembung Di Pasar Tani
PORT DICKSON: Suasana kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin meriah apabila calon semua parti bertembung ketika kempen di Pasar Tani Batu 4, di sini, pagi ini.
Tinjauan NSTP mendapati lokasi berkenaan strategik untuk calon Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang dan PAS pada PRU kali ini berkempen kerana ia menjadi tumpuan orang ramai.
Calon yang dilihat hadir bersama penyokong ialah calon BN bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk VS Mogan dan DUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar; calon pakatan pembangkang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan PAS, Mahfuz Roslan.
Turut kelihatan, calon PAS di DUN Sri Tanjung, Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan calon DUN Linggi, Noor Mohammad Rizal Ishak serta calon PKR bagi DUN Bagan Pinang, Mohd Ibrahim Khan.
Mereka bertembung dan bersalam-salaman dalam suasana harmoni walaupun hakikatnya sedang 'berperang'.
Tun Hairudin berkata, lokasi pasar tani itu sesuai bagi calon bertemu pengundi dan beliau sudah menjangkakan akan bertemu calon lawan di situ seperti pada PRU terdahulu.
"Ini yang dinamakan politik matang dan tiada apa yang perlu digusarkan. Ini negara demokrasi dan saya gembira kami bertemu di sini. Walaupun saya penyandang di DUN Bagan Pinang, kempen perlu diteruskan macam biasa.
"Bagi saya, ia menarik kerana bukan senang bertemu calon pembangkang ketika berkempen dan ia berlaku di khalayak ramai di sini yang sememangnya menjadi tumpuan orang ramai," katanya ketika ditemui.
Bagi Mahfuz, situasi itu menunjukkan politik matang yang sepatutnya diamalkan di mana-mana sahaja di negara ini ketika kempen pilihan raya sedang rancak berlangsung.
"Seronok juga dapat bertemu dan bertanyakan khabar calon dari parti lawan kerana bukan selalu berjumpa ketika berkempen. Kami amalkan politik cara sihat, tidak ada sengketa dan kata-mengata sesama calon kerana yang menentukan ialah pengundi.
"PAS akan bertanding di Parlimen Port Dickson serta DUN Sri Tanjung dan DUN Linggi. Kami lebih selesa bertemu orang ramai secara bersemuka sambil mengedarkan risalah untuk mengambil hati pengundi," katanya.
Danyal Balagopal pula berkata, beliau gembira kerana suasana kempen di kawasan yang ditandinginya berjalan lancar biarpun bertembung dengan parti lawan dari BN dan PAS.
"Politik bukan tempat untuk bergaduh walaupun berlainan ideologi politik. Masing-masing ada strategi dan kami juga lebih selesa bertemu secara terus dengan pengundi di kawasan perumahan dan di tempat tumpuan seperti di sini.
"Pada mulanya risau juga jika ada provokasi penyokong tetapi nampaknya ia berlaku dalam suasana yang cukup mesra. Kami serahkan kepada pengundi menentukan hala tuju walaupun sebelum ini sudah dua penggal kerusi di Parlimen dimenangi PKR," katanya.
Comments
Post a Comment