Akaun FB Palsu: Penyelaras DUN Bagan Pinang Lapor Polis

PORT DICKSON - Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Ibrahim Khan Amanula Khan membuat laporan polis berhubung sebuah akaun Facebook palsu yang menggunakan nama dan wajahnya hari ini.

Ibrahim berkata, akaun Facebook yang tular sejak kelmarin itu telah menggunakan nama dan wajahnya, selain meninggalkan komen di laman sosial berunsur lucah dan berbaur rasis.

Menurutnya, beliau menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh pegawai DUN Bagan Pinang tengah hari semalam.

"Saya terkejut kerana masih ada lagi pihak yang sanggup berbuat cara sebegitu (fitnah di media sosial) semata-mata untuk menjatuhkan maruah saya.

"Akaun palsu itu telah menjatuhkan imej dan moral saya selaku Pegawai Penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan.

"Saya yakin orang itu ada niat tidak baik terhadap saya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, tindakan melakukan fitnah terutama menggunakan unsur berbaur lucah adalah perbuatan terkutuk yang perlu dielakkan.


"Jika ada pihak lain yang merasakan dirinya lebih baik, sila tunjukkan kepada rakyat, jangan pula disebarkan fitnah sebegini untuk jatuhkan pihak lain.

"Kalau nak bersaing, bersainglah dengan sihat, kalau dia rasa diri lebih baik daripada saya buktikanlah dan tunjuk kepada rakyat, jangan buat fitnah keji seperti ini," katanya.Beliau berharap pihak berkuasa dapat mencari siapa dalang yang melakukan perbuatan tersebut, sekali gus mengenakan tindakan undang-undang untuk memberi pengajaran.

Untuk rekod pada PRU14 lalu, Dun Bagan Pinang dimenangi oleh ADUN Barisan Nasional, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dengan majoriti 1,935, menewaskan calon PKR, Ibrahim Khan.

Kredit: Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/38345/EDISI/Melaka-NS/Akaun-FB-palsu-Penyelaras-DUN-Bagan-Pinang-lapor-polis

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Comments

Popular posts from this blog

Menaik Taraf Dewan Bagan Pinang dan Bangunan MARA

Bantuan Barang Dapur dan Bantuan Pendidikan Keperluan Sekolah Siri 3